KUCHING : Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg disifatkan sebagai seorang pemimpin yang bijak dan berpandangan jauh apabila Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak dapat diadakan sebelum tibanya monsun timur laut dan kemunculan varian baharu COVID-19 yang membimbangkan.
Menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Ketua Menteri telah berjaya meyakinkan dan seterusnya mendapat perkenan daripada Istana Negara melalui Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong untuk menamatkan Proklamasi Darurat di Sarawak sebelum tarikh sebenar yang dicadangkan pada bulan Februari 2022.
Beliau berucap demikian dalam Majlis Apresiasi Petugas PRNS Ke-12 peringkat negeri, bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.
Dalam pada itu, ujarnya kemenangan bergaya Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mencerminkan jaminan dan keyakinan penuh rakyat Sarawak terhadap kepimpinan berterusan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari.
Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus lumus membantu Gabungan Parti Sarawak (GPS) sehingga memperoleh kejayaan dalam PRN12. -EDISI UKAS
Sumber dari : UKAS